KAWASAN Seksyen 23 Shah Alam di Selangor seperti biasa adalah tenang dengan penduduk pelbagai kaum yang majoritinya Melayu hidup dalam keadaan harmoni. Kawasan perumahan 120 buah rumah berkembar dua tingkat, kediaman kelas menengah itu, dengan purata dua kereta di hadapan rumah, sedikit berkocak dengan isu sekumpulan penunjuk perasaan Jumaat lalu.
Mereka membantah keputusan kerajaan negeri memindahkan sebuah kuil Hindu di Seksyen 19 ke Seksyen 23, kawasan kejiranan mereka, dengan membawa kepala lembu yang masih berdarah. Kawasan kediaman pelbagai kaum itu turut didiami sekitar 40 keluarga India, selain orang Cina.
Kejadian ini memperlihatkan masih ada sesuatu yang tidak kena dalam hubungan kaum dan agama di Malaysia ketika kita menyambut kemerdekaan ke-52. Tindakan mereka ini boleh dianggap sebagai satu penghinaan kepada penganut Hindu yang menjadikan lembu sebagai tuhan mereka.
Malah, ia bertentangan dengan ajaran Islam. Islam tidak membenarkan umatnya menghina tuhan penganut agama lain. Bayangkan apa akan berlaku apabila setiap kali kita tidak bersetuju dengan penganut agama lain, kita mengadakan tunjuk perasaan dan perarakan?
Bara seperti itu tidak harus dibenarkan menjadi api yang akan membakar keharmonian hubungan kaum yang sudah kita semai dan pupuk untuk sekian lama. Sesungguhnya, agama mampu menjadi isu yang membara jika tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab dibenarkan untuk bermaharajalela.
Perlembagaan negara menegaskan agama Islam sebagai agama rasmi, tetapi ia turut memperuntukkan bahawa agama lain berhak menubuh dan menyelenggarakan badan keagamaannya untuk menyebarkan agama mereka.
Tindakan terbabit bukan saja memperlihatkan sikap tidak sensitif, tetapi jelas tidak menghormati agama kaum lain. Tindakan emosional dan tidak bertanggungjawab itu perlu dibendung sebelum terlambat. Kita tentu tidak mahu meruncingkan lagi hubungan kaum yang kian tegang sejak kebelakangan ini hanya kerana angkara segelintir pihak yang tidak rasional.
Hubungan kaum yang harmoni dan perpaduan akan musnah jika kita dikuasai oleh emosi dan bukannya pertimbangan akal yang waras. Kita tidak harus membenarkan anasir pemusnah yang pendek akal itu meranapkan monumen perpaduan yang telah kita bina bersama selama ini. Jalan penyelesaian terbaik adalah dengan berdialog secara telus.
Kadangkala sebagai orang Sarawak yang pernah tinggal sebilik di asrama dengan penganut agama Buddha ketika berada pada tahun kedua dan juga dengan penganut agama Hindu pada tahun ketiga di sebuah universiti tempatan lebih 20 tahun lalu, saya menjadi hairan bagaimana isu seperti ini boleh tercetus.
Mungkin penganut pelbagai agama di Semenanjung Malaysia perlu berkunjung ke Sarawak untuk menyaksikan bagaimana harmoninya kehidupan sekitar 30 suku kaum di negeri ini. Meskipun masyarakatnya lebih kompleks dari segi kaum, budaya dan agama, isu seperti di Shah Alam itu adalah di luar imaginasi mereka.
Mungkin penduduk di Semenanjung tidak terfikir bahawa ada beberapa masjid dan gereja bergandingan sebelah-menyebelah di Sarawak. Toleransi pluralistik yang ketara misalnya, terdapat di Iris Garden, Kuching apabila tiga tempat ibadat wujud di sebuah kawasan.
Di kawasan perumahan terbabit, surau berdiri bersebelahan Sidang Injil Borneo yang juga bersebelahan dengan kuil penganut Buddha. Tidak pernah timbul masalah dalam kalangan penganutnya, malah keharmonian sentiasa terpelihara.
Keharmonian itu adalah bukti manifestasi tolak ansur dan rasa hormat yang tinggi terhadap agama individu lain di Sarawak yang seharusnya menjadi contoh mereka di Semenanjung. Itulah sebabnya bagi penduduk Sarawak, mereka hairan bagaimana isu kaum dan agama mudah meletus di Semenanjung.
Adakah kerana sifat taksub atau kerana kurangnya sifat toleran? Ke mana menghilangnya ajaran agama masing-masing supaya sentiasa menghormati agama orang lain?
Kemerdekaan akan lebih bererti jika kita saling menghormati, toleran, menjalin persefahaman dan persaudaraan, bekerjasama, berkasih sayang, saling menjamin, memulia dan menghormati penganut agama lain, dan menghormati jiran tetangga seperti yang dituntut oleh agama kita.
Nilai-nilai ini perlu sentiasa dijunjung tinggi dalam masyarakat majmuk di negara kita. Jika tidak, siapakah yang dapat menjamin bahawa peristiwa seperti yang berlaku di Shah Alam tidak akan berulang kembali pada masa depan? Dan, akhirnya menjadi api marak yang meranapkan hubungan kaum dan perpaduan sehingga sukar dikawal.
Oleh Dr Jeniri Amir
jamir@fss.unimas.my
Penulis ialah Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas)


